Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Darulhayah Debella Negeri Selangor & Kuala Lumpur telah ditubuhkan pada 10 Disember 2009 dibawah pendaftaran 2519-09-SEL. Dengan kelulusan pendaftaran ini Jawatankuasa berkenaan telah bergerak cergas untuk mencapai matlamat penubuhannya.
Ia diilhamkan oleh jawatankuasa bagi mewujudkan sebuah rumah yang lebih sempurna bagi menempatkan anak-anak yatim/piatu miskin dan fakir miskin. Memandangkan dalam negara ini masih terdapat ramai anak-anak yatim/piatu yang miskin maka satu jawatan kuasa dibentuk bagi menjayakan hasrat ini.
Tujuan penubuhan Pusat kebajikan ini adalah untuk membantu anak-anak yatim dan miskin beragama Islam yang menetap disekitar negeri Selangor dan Kuala Lumpur tanpa mengira bangsa dan keturunan. Darul Hayah telah menempatkan seramai lebih kurang 50 orang anak-anak yatim dan miskin samaada menetap ataupun berulang-alik dari rumah yang berdekatan. Ia merupakan sumber inspirasi bagi mewujudkan masyarakat penyayang serta memelihara kesucian agama dan akidah di dalam diri setiap insan.
Matlamat:
- Memberikan bantuan persekolahan, pengajian, pendidikan dan seterusnya melatih mereka untuk menjadi insan berguna dan berdikari.
- Meringankan beban keluarga yang tidak berkemampuan.
- Memberi galakan kepada masyarakat Islam supaya menyertai ibadat sedekah dan infak di jalan Allah.
- Memberi pendidikan dunia dan akhirat yang sempurna
- Menyediakan tempat penginapan yang lebih selesa.
- Menyediakan makan/minum dan pakaian secukupnya.
- Memberi kasih sayang, asuhan bimbingan dan juga keselamatan ke atas mereka.
- Melahirkan anak-anak yatim piatu yang berguna kepada bangsa, agama dan negara.
Firman Allah: Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seagama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 220). |